dD Kedidi Kaki Palsu 100% Handmade. RINGANKAN & PERMUDAHKAN.

Alhamdulillah dapat kaki baru

Alhamdulillah dapat kaki baru

MUHAMMAD Daniel Haikal Hasdi, 14 menjalani proses mengukur kaki palsu yang disumbangkan Syarikat Kedidi Kaki Palsu di Kampung Batu Lapan, Lepar. FOTO Mohd Rafi Mamat


 

PELUANG remaja cacat, Muhammad Daniel Haikal Hasdi berjalan tanpa tongkat dan melakukan aktiviti di luar rumah cerah apabila syarikat pembuat kaki palsu mahu merealisasikan impian anak sulung tiga beradik itu.

Syarikat Kedidi Kaki Palsu berpangkalan di Seri Kembangan, Selangor bersetuju untuk menyumbang kaki palsu seratus peratus buatan tangan kepada pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar, Pekan.

Jurucakap syarikat itu, Syafiq Redzuan Abdullah berkata, selepas membaca berita disiarkan Harian Metro minggu lalu, pihaknya mengambil keputusan untuk menyumbangkan kaki palsu berkualiti tinggi kepada Muhammad Daniel Haikal.

Beliau berkata, beberapa faktor menyebabkan remaja itu tidak selesa memakai kaki palsu baru diterima hingga berlakunya kecederaan dan berdarah pada kaki kanannya yang cacat sejak lahir.

“Berbekalkan kepakaran yang syarikat miliki, kami yakin kaki palsu seratus peratus buatan tangan yang dihasilkan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi Muhammad Daniel Haikal yang kini terpaksa menggunakan tongkat bahu untuk ke sekolah.

“Menjadi tanggungjawab kami membantu remaja terbabit bergerak dengan selesa tanpa menyebabkan kecederaan dan keadaan tidak selesa secara berterusan,” katanya yang berkunjung ke rumah remaja terbabit di Kampung Batu Lapan Lepar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas mengambil ukuran dan bentuk kaki, pihaknya akan mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan kaki palsu yang berkualiti tinggi untuk digunakan remaja terbabit.

Syafiq Redzuan berkata, bantuan kaki palsu terbabit diharap dapat memberi lebih keselesaan kepada Muhammad Daniel Haikal bergerak terutama ketika di sekolah dan mengikuti aktiviti di luar rumah.

“Apabila siap nanti, kita akan menyerahkan sendiri kaki palsu kepada Muhammad Daniel Haikal, saya akan pastikan kemudahan yang diberikan itu dapat digunakan dengan selesa dan memuaskan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro menyiarkan berita mengenai kepayahan Muhammad Daniel Haikal yang dilahirkan cacat kaki kanan, tidak dapat menggunakan kaki palsu sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disebabkan tulang kaki yang dipotong tahun lalu memanjang.

Malah, setiap kali memakai kaki palsu itu kaki kanannya luka dan berdarah hingga menimbulkan pelbagai masalah menyebabkan remaja terbabit memilih menggunakan tongkat ke sekolah dan berkerusi roda di rumahnya.

Sementara itu, Pegawai JKM Pekan, Zulkifli Mahmud berkata, pihaknya sudah mengarahkan syarikat yang bertanggungjawab membekalkan kaki palsu kepada Muhammad Daniel Haikal sebelum ini supaya membaikinya.

“Saya berharap kaki palsu yang kami sediakan sebelum ini dapat digunakan remaja terbabit selepas ini.

“Saya juga mendapat tahu ada syarikat yang mahu menyumbangkan kaki palsu kepadanya dan biar beliau mempunyai dua kaki palsu yang boleh digunakan secara bergilir,” katanya.


 

Berita Asal: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/02/316376/update-alhamdulillah-dapat-kaki-baru