dD Kedidi Kaki Palsu 100% Handmade. RINGANKAN & PERMUDAHKAN.

Saham akhirat keluarga Abdullah [METROTV]

ABDULLAH (dua dari kanan) bersama isteri, Noorsham dan anaknya, Syafiq Redzuan (tengah), Bahrunnizam dan Siti Nur Syakirah. FOTO Saifullizan Tamadi

ABDULLAH (dua dari kanan) bersama isteri, Noorsham dan anaknya, Syafiq Redzuan (tengah), Bahrunnizam dan Siti Nur Syakirah. FOTO Saifullizan Tamadi


 

MINAT dan keinginan membantu golongan kurang bernasib baik mendorong tiga beradik, Syafiq Redzuan Abdullah, Bahrunnizam dan Siti Nur Syakirah meneruskan usaha ibu bapa mereka dalam perusahaan pembuatan kaki palsu.

Buat masa ini, tiga beradik itu terbabit sepenuhnya dalam bidang berkenaan bersama ibu, Noorsham Ibrahim, 61 dan bapa, Abdullah Mad Yunus, 64, di bengkel bernama dD Kedidi terletak di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan.

Perusahaan itu bermula sejak Disember 2017 dan salah satu matlamatnya ialah membantu asnaf mendapatkan kaki palsu diperbuat daripada gentian kaca secara percuma menerusi dana daripada Prudential BSN (PruBSN).

Syafiq, 33, berkata, dia pernah bekerja sebagai mekanik gas asli (NGV) di Larkin, Johor Bahru, Johor tetapi beralih bidang selepas mengikut jejak langkah bapa dan abang keduanya, Iqbal Hakim, 35, yang terlebih dulu menceburkan diri.

“Saya graduan Diploma Mekanikal Gas dari Institut Kemahiran Mara Johor Bahru yang tiada kaitan langsung dengan pembuatan kaki palsu .

“Namun, minat menceburkan diri dalam bidang ini tercetus selepas abang kedua saya menyatakan hasrat mencuba seperti mana salah seorang rakannya.

“Mulanya, kami cuba-cuba saja dengan menjadikan tutorial di Youtube sebagai rujukan sebelum bertemu pakar pembuat kaki palsu, Pak Dadan di Bandung dan Ali Saga di Jakarta, Indonesia bagi melihat dan mempelajari proses pembuatan dengan mereka,” katanya.

 

SYAFIQ Redzuan (kanan) dan Bahrunnizam menyiapkan kaki palsu untuk asnaf. FOTO Saifullizan Tamadi
SYAFIQ Redzuan (kanan) dan Bahrunnizam menyiapkan kaki palsu untuk asnaf. FOTO Saifullizan Tamadi

 

Biarpun tiada asas dalam pembuatan kaki palsu, Syafiq tidak putus asa dan perlahan-lahan mempelajari selok-belok sehingga mahir dalam bidang berkenaan.

Lebih menggembirakannya apabila kemahiran itu dapat digunakannya untuk membantu golongan kurang bernasib baik terutama asnaf memerlukan kaki palsu.

“Dulu tak pandai, orang kata macam kayu (kaki palsu dibuat) hingga ada yang ketawakan saya.

“Namun, ibu dan ayah beri galakan, semangat dan idea untuk teruskan. Alhamdulillah, ramai asnaf dapat manfaatnya dan seronok melihat mereka tersenyum selepas mendapat kaki palsu malah ada yang menangis apabila boleh jalan semula dan lebih baik lagi bekerja semula menyara keluarga.

“Bagi saya, itu kepuasan yang orang lain tidak dapat dan saya akan terus berada dalam bidang ini untuk menghasilkan lebih banyak inovasi kaki palsu yang memudahkan individu memerlukan,” katanya.

Bahrunnizam, 37, berkata, dia turut merasakan kepuasan sama apabila dapat menggunakan kemahiran untuk membantu asnaf memerlukan.

“Sebelum menceburi bidang ini, saya berniaga pakaian dan kini, saya rasa seronok apabila dapat bersama-sama keluarga menjalankan perusahaan ini.

“Ada cabaran dan tekanannya tetapi rasa bersemangat itu lebih lagi apabila melihat penerima menggunakannya.

“Lagipun, harga kaki palsu di pasaran agak mahal tetapi kami cuba membantu asnaf mendapatkannya dengan percuma. Saya tidak terfikir untuk berhenti sebaliknya akan terus aktif dalam bidang ini dan berharap ia diteruskan pula oleh anak cucu kelak,” katanya yang juga anak sulung daripada lima beradik.

Sementara itu, Siti Nur Syakirah, 23, berkata, dia mengambil keputusan turut serta dalam perusahaan berkenaan kerana menganggap ia platform baik untuk membantu mereka yang memerlukan.

 

SITI Nur Syakirah menunjukkan kaki palsu yang sudah siap. FOTO Saifullizan Tamadi
SITI Nur Syakirah menunjukkan kaki palsu yang sudah siap. FOTO Saifullizan Tamadi

 

“Sejujurnya, saya tidak banyak terbabit sebelum ini kerana sibuk dengan pengajian.

“Kini, pengajian sudah tamat jadi inilah masanya untuk bersama dengan ibu dan ayah serta abang. Jika abang terbabit dalam pembuatan, saya pula bertanggungjawab dalam aspek pengurusan dan pemasaran.

“Alhamdulillah, saya berpeluang mengikut keluarga menghantar sendiri kaki palsu dan terharu melihat kegembiraan ditunjukkan mereka selepas menerimanya. Buat masa ini, saya tidak terfikir menyambung pengajian kerana mahu cari peluang membantu lebih ramai di luar sana supaya dapat memiliki kaki palsu,” katanya yang juga pemegang lulusan ijazah dalam jurusan Sains Bioperubatan, Universiti Malaya (UM).

Disiarkan pada: Ogos 14, 2020 @ 8:27pm